PTPTN: Mansuh, Bukan Naikkan Kadar Pinjaman!
Rakyat Sarawak bakal menerima manfaat skim pendidikan tinggi percuma, tapi pemimpin mahasiswa di Semenanjung Malaysia mahu kadar pinjaman PTPTN disemak semula.
Oleh: Mustaqim Badrul Hisham
Sedang rakyat di Bumi Kenyalang bakal menikmati pendidikan percuma kelak, pemimpin pelajar di Malaya masih merasakan hutang merupakan mekanisme terbaik dalam menaja pendidikan tertiari dan melontarkan cadangan agar kadar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dinaikkan, kononnya untuk meringankan beban fiskal mahasiswa tatkala kos sara hidup semakin meruncing.
Pada permukaannya, langkah ini kelihatan masuk akal. Tetapi jika difikirkan dengan lebih mendalam, ia sangatlah dangkal. Yang mengecewakan, ia dikemukakan oleh wakil mahasiswa daripada kesatuan mahasiswa, badan pelajar yang sepatutnya lebih cerdik dalam mencari solusi kepada isu mahasiswa ketimbang pemikiran ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
Cadangan yang turut disokong oleh Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), antara badan pengipas kerajaan yang masyhur, persis mencadangkan orang miskin untuk membuat hutang hanya untuk meneruskan kehidupan. Sesuatu yang tidak pernah dibuat orang. Sedarkah pencadang idea ini bahawa yang perlu membayar balik hutang lebih banyak itu nanti adalah mahasiswa?
Cadangan ini sebenarnya menyerlahkan satu perkara yang lebih menggerunkan iaitu krisis intelektual dalam kalangan pemimpin mahasiswa hari ini. Ia mendedahkan betapa ceteknya analisis sebahagian pemimpin mahasiswa terhadap masalah sebenar yang dihadapi golongan pelajar yang mereka wakili.
Sepatutnya, pendidikan percuma dijadikan aspirasi perjuangan gerakan-gerakan mahasiswa. Usah takut untuk “mengitar semula” idea lama. Idea pendidikan percuma kekal relevan dulu, kini dan selamanya. Ia juga bukan tidak realistik apatah lagi utopian. Seperti yang disebutkan di awal penulisan ini, Sarawak boleh melakukannya. Mengapa tidak Malaysia?
Ketiadaan tekad politik yang sebenarnya menjadi dinding kepada penawaran pendidikan percuma. Negara bukannya tiada duit. Dan jika tiada duit sekalipun, janalah lebih banyak duit. Tutup segala kebocoran belanjawan negara, pelbagaikan jenis cukai progresif.
Malaysia memiliki pelbagai sumber pendapatan—hasil petroleum dan gas, cukai korporat, dividen syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan sebagainya. Sebaliknya, setiap tahun, berjuta-juta ringgit dibelanjakan untuk projek mewah yang tidak mendesak, ketirisan dana, serta keutamaan perbelanjaan yang meragukan.
Mahasiswa (terutamanya kesatuan mahasiswa), masyarakat sivil, dan kesatuan akademik perlu menggunakan momentum ini (pewujudan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak) untuk terus mendesak kerajaan agar mengambil langkah lebih agresif. Jika kita benar-benar percaya bahawa pendidikan adalah kunci kepada kemajuan, maka ia tidak boleh terus dikomersialkan seperti satu produk di pasaran, tetapi perlu dilihat sebagai pelaburan masa panjang.
Akhir kalam, pemimpin mahasiswa kontemporari perlulah lebih kritikal dan berani dalam mencadangkan solusi kepada permasalahan yang dihadapi oleh mahasiswa. Perihal topik penajaan pendidikan, pendidikan percuma sewajarnya dijadikan matlamat utama dan akhir, bukannya penambahan beban hutang pendidikan.